Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

Thursday, June 17, 2010

:: PENGAJIAN MELAYU BERSUMBERKAN ISLAM ::

Salam Sejahtera kawan-kawan...

entri kali ni bukan cerita-cerita panas,

tetapi

lebih berunsurkan ILMIAH

(angin apelah cik tembun ni)


bukan ape, kali ni macam nak kongsi

ILMU yang ada di DADA

dengan pembaca-pembaca(ramai ka?)

belog ini


Masa saya study dekat UM dulu

saya ada buat satu tugasan..


jadi kat sini saya post

SPECIAL EDITON

untuk menjadi manusia berILMU

_____________________________________________



Ragam hias yang terdapat pada hasil seni rupa Melayu telah pun terkenal di seluruh dunia kerana kecantikan dan keunikannya yang penuh dengan peradaban dan falsafah manusia Melayu yang berteraskan Islam. Bahkan, ragam hias yang terdapat pada hasil seni rupa Melayu telah banyak menceritakan tentang kebudayaan, kepercayaan dan ketamadunan manusia Melayu pada para pengamat seni, ahli arkeologi dan antropologi. Walau bagaimanapun, pengertian seni hias selalu difahami sebagai sesuatu yang memberikan keindahan pada bentuk yang ‘dihampirinya’, sehingga makna, terutama dari sudut fungsi dan sejarah budaya, kerapkali dilupakan.

Jika dipandang dan ditinjau daripada sudut estetika, seni hias sering melibatkan bukan sahaja bentuk yang diindahkan, tetapi juga menghubungkaitkan peranan individu, kelompok masyarakat, serta alam semulajadi. Soal kepercayaan atau semacam anutan kelompok masyarakat juga memainkan peranan yang tertentu dalam menghasilkan seni rupa manusia Melayu. Setiap hasil seni rupa manusia Melayu bukanlah dicipta secara sesuka hati ataupun sekadar memenuhi selera sesama diri seniman atau masyarakat. Sebenarnya, hasil seni rupa manusia Melayu itu didorong dan pengaruhi oleh penakatan, budaya dan kepercayaan. Justeru, hasil seni rupa Melayu adalah manifestasi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu itu sendiri.
Seni hias melibatkan makna ragam hias, reka corak, ke atas aneka bentuk kraftangan yang merujuk pada bentuk seni rupa, iaitu sesuatu bentuk seni yang bersifat tiga dimensi. Oleh demikian, ragam hias sangat ketara dalam bentuk seni bina, hiasan taman, hiasan pakaian, peralatan hidup yang semuanya berfungsi dan berguna dalam kehidupan, budaya, tradisi dan adat manusia Melayu. Justeru, setiap hasil seni rupa Melayu itu memerlukan daya kreativiti dan pemikiran yang mendalam serta pemahaman manusia Melayu pada agamanya, masyarakatnya, kosmologi, alam persekitarannya dan prinsip-prinsip hidupnya yang lain.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa seni rupa, seperti juga seni persembahan, sebenarnya memanifestasikan alam Melayu dan pemikiran manusia Melayu tentang alam itu. Ragam hias dalam seni rupa melibatkan susunan nilai sebagaimana yang telah ditentukan dalam tradisi budaya dan manusia Melayu. Dalam erti kata yang lain, hasil kesenian seseorang tukang manusia Melayu boleh dijadikan sumber untuk memahami manusia Melayu yang menjiwai alamnya. Bahkan, seni rupa merupakan hasil dan fenomena yang menggambarkan daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu.

Oleh demikian, ragam hias yang terdapat pada hasil seni rupa Melayu jelas menunjukkan kemampuan manusia Melayu dan bagaimana manifestasi kehidupan mereka tersirat melalui kreativiti seni. Rahmah Hj. Bujang dalam makalahnya yang bertajuk “Pengungkapan Kreativiti Seni Melayu”, telah mengatakan bahawa:


“...kreativiti seni sebagai salah satu unsur budaya. Tradisi seni rupa Melayu menungkapkan tradisi budaya Melayu yang melalui aspek kosmologi yang berpotensi untuk difahami.”

Kosmologi dalam konteks ini diserapkan atau dipaparkan melalui tradisi seni Melayu, termasuklah nilai, weltanschauung atau “world-view”, pemikiran serta jiwa manusia Melayu itu. Bagi memahaminya sudah pasti seseorang itu memerlukan penelitian secara mendalam, tentang aspek-aspek tersirat yang menjadi lambang bagi sesuatu hasil seni itu.

Ragam hias dalam hasil seni rupa sebagai manifestasi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu dapatlah dilihat pada usaha manusia Melayu untuk mengekalkan tradisi bagi menjamin segala yang tersirat melaluinya itu supaya dapat dihayati oleh satu generasi ke satu generasi. Warisan seni tradisi di kalangan manusia Melayu disampaikan secara lisan dari mulut ke mulut dan dari satu generasi ke satu generasi. Mereka menyedari bahawa untuk menjamin kemurnian tradisi itu perlu keakuran pantang larang dan petuanya. Namun demikian, manusia Melayu sebagai individu masih memberikan ruang untuk memperbaiki dan dan memperhalusi seni rupanya. Ruang bagi menggalakkan kreativiti sehingga kini masih dipertahankan. Meskipun demikian, aspek yang perlu dipertahankan sebagai tradisi seni itu sebenarnya ialah isi kandungannya yang mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifatnya yang tersendiri dalam menyatakan manifestasi kosmologi itu.

Kreativiti orang Melayu kini boleh digolongkan kepada dua kategori: seni rupa dan seni persembahan. Seni rupa ialah bentuk kesenian yang hasilnya menjadi artifak atau bahan untuk dinikmati semua. Seni persembahan ialah bentuk kesenian yang dinikmati waktu dipersembahkan, iaitu sama ada dengan cara pertunjukan langsung atau mengikut musim, atau kini dengan adanya kemajuan teknologi, pertunjukan itu juga boleh dirakamkan untuk dijadikan bahan untuk dinikmati semua. Walau bagaimanapun, esei ini akan memberi tumpuan pada ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu, dari segi kaedah, proses dan hasilnya sebagai satu manifestasi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu.


Ragam hias dalam hasil seni rupa tradisi Melayu dihasilkan melalui kepandaian manusia Melayu mengukir, menganyam, menyulam, menekat, memahat, mengetuk, menenun, menulis dan melukis. Kemahiran-kemahiran tersebut jelas menggambarkan daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu. Ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu banyak menimba ilham dari alam sekitar. Dalam seni rupa, hasil seni terungkap sebagai kreativiti yang dikaji melalui pola flora fauna dan pola kehidupan alam, iaitu sumber ilham yang datangnya dari alam persekitaran. Kreativiti pengkarya seni juga menampakkan persepsi mereka terhadap rupa bentuk yang kini dipanggil sebagai pola geometri.

Banyak pula hasil karya seni yang menggabungkan lebih daripada satu pola yang disebutkan di atas. Dalam sesuatu hasil yang mempunyai sesuatu pola, terungkap pula pengisian dalam pola itu dengan kepelbagaian unitnya sebagai motif yang dipilih oleh pengkarya. Umpamanya dalam pola flora fauna pengukir, penganyam, penekat, penenun, pelukis mempunyai peluang untuk memilih apa jua aspek dalam bunga, daun dan pokok yang menarik perhatiannya. la mungkin tertarik dengan sesuatu bunga lalu menerapkan imej bunga itu melalui daya kreativitinya ke atas bahan seni yang sedang dihasilkan. Sesuatu bunga yang terhasil sebagai seni itu lalu dipanggil motif kepada pola flora fauna, seperti motif bunga, bunga ketumbit dan bunga tampuk manggis. Ada juga pengkarya yang mereka cipta motif dari bentuk geometrik lalu menghasilkan motif seperti bunga madu manis, yang menggunakan bentuk asas wajik, dan bunga pecah empat, enam dan lapan mengikut pembahagian kelopaknya. Keupayaan dan kebolehan dalam penelitian menghasilkan dan mereka motif-motif tersebut jelas menggambarkan bahawa hasil seni rupa Melayu adalah manifestasi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu.
Dalam proses penghasilan dan kreativiti seni, orang Melayu sangat menekankan keselamatan dan kesejahteraan dalam menggunakan alat. Sebagai usaha menjamin keperluan itu, tukang turut memberikan perhatian terhadap pemilihan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat peralatan. Misalnya mereka memilih bahan yang kuat, kukuh dan boleh tahan lama serta bahan-bahan yang dipercayai dapat memberikan kebaikan kepada orang yang memilikinya nanti. Dalam pemilihan bahan itu, pertimbangan keindahan sentiasa diberikan perhatian, misalnya memilih jenis kayu yang berwama dan mempunyai urat dan jalur-jalur yang indah. Ringkasnya, pemilihan bahan dilakukan dengan teliti bagi menentukan keselamatan, ketahanan, kehalusan dan keindahan sesuatu alat yang dihasilkan, di samping menimbangkan tentang keberkesanan kepenggunaannya. Berbagai-bagai pertimbangan itu sentiasa menjadi perkiraan dalam menentukan penghasilan seni rupa dalam tradisi budaya Melayu. Usaha-usaha tersebut jelas menggambarkan bukan sahaja daya kreativiti, bahkan juga pemikiran manusia Melayu.

Dalam menghasilkan peralatan untuk kepentingan kepenggunaannya pula, orang-orang Melayu berusaha memanfaatkan bahan-bahan yang terdapat di alam sekitar mereka, seperti tumbuhan, tanah-tanih, dan sebagainya. Mereka mewarisi tradisi anyaman, tenunan, pertukangan kayu dan logam, membuat pasu dan tekat menekat yang tinggi mutunya. Berbagai-bagai peralatan dihasilkan, misalnya tikar, tudung saji, kelarai, songket, ukiran kayu dan sebagainya. Tukang-tukang yang mahir dan berpengalaman sangat menitikberatkan keindahan dan kehalusan hasil peralatan itu, di samping kegunaannya. Mereka memberikan tumpuan secara teliti agar dapat memberikan kepuasan kepada diri mereka dan seterusnya mereka mengharapkan hasil seninya itu dapat dihayati bersama anggota-anggota masyarakat lain. Tukang-tukang itu berasa amat dihargai apabila hasil mereka itu dapat dihayati oleh orang lain. Penghasilan seni rupa oleh tukang-tukang yang berpengalaman untuk golongan memerintah dianggap sangat berharga, mempunyai nilai-nilai keindahan dan kehalusan yang tinggi sebab hasil seni rupa tersebut telah dihasilkan dengan kemahiran yang tinggi, daya kreativiti yang kritis dan halus serta pemikiran yang mendalam dan penuh dengan falsafah kepercayaan dan keagamaan manusia Melayu.

Kepercayaan dan keagamaan sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua konsep tersebut menggambarkan budaya dan pemikiran manusia Melayu. Kedua-dua konsep ini merupakan antara ciri yang turut mempengaruhi penghasilan seni rupa. Kepercayaan dan keagamaan dalam kesenian tamadun seni rupa bukanlah sesuatu perkara yang asing kerana para pengkaji budaya juga banyak yang bersetuju dengan pendapat ini. C. Israr, seorang peng­kaji sejarah kesenian Islam pernah mengatakan bahawa:

Dalam perkembangan sejarah kesenian dari zaman dahulu sampai sekarang, 'kepercayaan' atau 'agama' adalah merupakan sumber inspirasi yang amat besar dan pembangkit daya cipta yang luar biasa untuk mewujudkan sesuatu yaig berbentuk kesenian....

Nyatalah bahawa 'agama' mempunyai fungsi yang maha besar dalam perkembangan di benua Timur atau Barat. Dalam agama, terpendam sumber inspirasi yang tidak akan kering-keringnya. Agama merupakan motor atau tenaga penggerak yang besar, yang dapat menggerakkan tenaga pemeluknya untuk mencipta sesuatu peradaban, kebudayaan khususnya kesenian.
(C. Israr 1978: 21)
Sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu, masyara­kat Melayu telah menganut pelbagai kepercayaan seperti animisme dan Hindu-Buddha. Kepercayaan animisme lebih memusatkan kepercayaan mereka kepada kuasa ghaib dan makhluk halus. Menentang kuasa ghaib dan makhluk halus ini dipercayai boleh mengakibatkan kesusahan dan membawa sakit kepada mereka. Oleh itu, untuk mengelak daripada segala bencana dan kesusahan, orang Melayu zaman dahulu mendapatkan pertolongan daripada pawang, terutama, bagi menentukan kedudukan orientasi rumah mereka. Kedatangan agama Hindu-Buddha juga telah mempengaruhi sistem kepercayaan masyarakat Melayu tradisi. Agama ini telah dicampuradukkan dengan sistem kepercayaan tempatan kerana konsepnya tidak jauh berbeza dengan agama asal mereka yang masih berorientasikan kuasa-kuasa ghaib.

Setelah kedatangan Islam di alam Melayu, pemikiran orang Melayu turut berubah. Agama Islam mengajar penganutnya menyembah Tuhan Yang Satu. Dia adalah Pencipta bumi dan langit. Menyembah dan mempercayai kuasa ghaib dan hantu adalah syirik. Contohnya, sebelum kedatangan pengaruh Hindu, motif-motif ukiran yang dihasilkan lebih bersifat geometrik. Setelah kedatangan pengaruh Hindu, ia bertukar kepada bentuk lembaga.
Kedatangan agama Islam pula telah menegah pengukir daripada mencipta gambar dan benda yang hidup. Zaman keagungan Islam telah memperlihatkan gaya geometrik yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan penggunaan ayat-ayat al-Quran telah diperluas. Gambar di bawah ini memperlihatkan ukiran tumbuh-tumbuhan dan penggunaan aya-ayat al-Quran pada kayu. Bentuk ini telah melambangkan keseluruhan konsep ketuhanan dan kealaman orang Melayu yang abadi dalam penghasilan itu



Fenomena sedemikian hanya dapat terhasil dengan daya kreatif manusia Melayu.

Kedatangan pengaruh Islam di alam Melayu, telah banyak mengubah corak, konsep falsafah, dan pemikiran masyarakatnya terhadap kesenian. Meskipun Islam telah berjaya menjadi anutan rasmi penduduk, namun unsur-unsur daripada pengaruh sebelumnya memang masih diamalkan lagi dalam bidang seni bina.

Othman Mohd. Yatim (1989: 72) mengatakan bahawa memandangkan Islam yang diterima oleh masyarakat Melayu telah didahului oleh agama lain, jadi corak dan gaya seni reka masyarakat Islam di rantau ini masih memperlihatkan hubungan dengan agama yang terdahulu seperti animisme dan Hindu-Buddha. Contohnya, motif-motif binatang, bunga teratai, dan sebagainya masih terus digunakan sehingga ke hari ini. Dalam ritual-ritual kebudayaan juga mereka masih meneruskan kesinambungan masa lampau dengan mengekalkan setengah-setengah kepercayaan paganisme, animisme, dan Hindu-Buddha.

Mesksipun kepercayaan lama itu diteruskan, namun pada hakikatnya, ia telah disesuaikan dengan konsep keislaman. Umpamanya, dalam adat istiadat mendirikan rumah, walaupun masih ada yang mengamalkan adat lama yang dianggap khurafat itu, namun amalannya bukan lagi atas dasar kepercayaan, tetapi cuma sekadar menurut adat kebiasaan sahaja. la juga dianggap sebagai satu wawasan kerana sikap berjaga-jaga juga adalah dituntut dalam agama Islam.

Hal yang sama juga kelihatan dalam ragam hias pada motif-motif ukiran seperti motif yang berunsurkan binatang dan bunga-bungaan yang merupakan warisan daripada kebudayaan Hindu-Buddha. Motif yang berunsurkan binatang walaupun banyak diterapkan dalam ukiran Melayu, tetapi bentuknya telah disamarkan daripada bentuk asal, sebagai memenuhi syariat Islam.

Motif tumbuh-tumbuhan yang masih digunakan dalam kesenian Islam ialah bunga teratai dan daun bodi. Kedua-dua motif ini adalah lanjutan daripada pengaruh Hindu-Buddha. Motif bunga teratai merupakan lambang ketuhanan yang banyak digunakan dalam agama Hindu dan ukiran ini biasanya terdapat pada binaan candi-candi Hin­du.

Motif pohon bodi atau daun bodi (budi) ini banyak ter­dapat dalam ragam hias Hindu dan Buddha yang mempercayai bahawa Sidharta Buddha bertapa di bawah pokok bo. Simbol pohon atau daun ini menjadi ingatan dan penghormatan suci kepada Buddha itu sendiri. Dalam kesenian Melayu, daun bodi ini bermakna daun beringin yang terda­pat dalam alam sekitar, sebagai simbol keteduhan dan perlindungan. (Siti Zainon Ismail 1986: 42).

Setelah kedatangan agama Islam, motif ini telah disesuaikan dengan konsep Islam. Motif bunga teratai disimbolikkan oleh Abdullah Mohamed (Nakula) sebagai pegangan seseorang dalam hayatnya. Pegangan dalam kehidupan adalah Zat Allah, sementara kelopaknya membawa maksud makhluk.

Motif pohon bodi juga telah diberi interpretasi yang bersesuaian dengan agama Islam. Motif ini telah dilambangkan sebagai tingkat menuju kepada Allah s.w.t. iaitu bermula dari tingkat tarekat, hakikat, dan makrifat. Motif ini banyak diterapkan dalam ragam hias Melayu seperti ukiran. Penerapannya dianggap tidak bertentangan dengan agama Islam, kerana ia lebih tertumpu kepada motif flora.

Premis ini menunjukkan bahawa Islam menerima segala unsur kebudayaan luar asalkan ia bersifat positif dan dapat menyuburkan tauhid serta takwa kepada Allah s.w.t. Hal ini menggambarkan bahawa Islam adalah satu agama yang liberal, bertolak ansur dengan sesuatu kebudayaan lain, tetapi bersikap selektif agar kesucian Islam tetap terjamin. Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa ragam hias dalam seni rupa Melayu merupakan manifestasi daya kreatif dan pemikiran manusia Melayu.

Hubungan agama dengan kebudayaan memang tidak dapat dipisahkan, malah kedua-duanya mempunyai pertalian yang sangat erat. Sidi Gazalba (1982: 53 - 53) mengatakan bahawa:

“Islam datang dengan konsep yang berlawanan. Islam mengajar bahawa agama dan kebudayaan bukan dua perkara yang berdiri sendiri, bukan dua pula yang dipersatukan, tetapi dua yang satu, dwitunggal. Yang satu memang boleh dibezakan daripada yang lain, tetapi tidak dapat dipisahkan. Dalam kehidupan Islam yang pertama ialah hubungan dengan Allah (agama) dan yang akhir hubungan dengan manusia (kebudayaan).’
(Sidi Gazalba 1982: 53 - 53)

Pendapat ini cuba membayangkan bahawa akidah, agama, dan kebudayaan adalah saling berhubungan. Agama tegak berasaskan akidah dan kebudayaan tegak berasaskan agama.

Hubungan antara Islam dengan kebudayaan orang Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Abdullah Mohamed berpendapat, untuk mengenali kebudayaan Melayu itu, kita perlu mengenali Islam terlebih dahulu yang bermaksud Zat Allah iaitu menghubungkan konsep ketuhanan dan kealaman. Inilah sebenarnya yang menjadi teras kepada kebudayaan Melayu tradisi.

Kedatangan Islam ternyata telah membawa satu bentuk falsafah hidup tersendiri yang berdasarkan ketauhidan kepada Allah s.w.t. Konsep-konsep tauhid, perundangan, dan kemasyarakatan yang terdapat dalam kepercayaan dan ajaran Islam merupakan faktor penyatu yang mencantumkan pelbagai bentuk bangunan dan menghasilkan satu corak yang menggambarkan semangat kesatuan dan kepelbagaian. la juga menggambarkan satu suasana harmoni dan keseimbangan daripada pelbagai perkara yang berbeza dan bertentangan.

Oleh demikian, konsep keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan manusia dari kejadian alam merupakan asas dan prinsip utama dalam kejayaan tradisi seni Melayu. Segala kejadian dalam alam ini merupakan ilmu yang penting bagi manusia untuk mengenali Allah. Allah menjadikan segala isi alam dengan peranan dan kepentingan tersendiri, yang tersusun dan beredar atau bergerak mengikut peraturan sebagaimana yang telah ditentukan. Peredaran dan pergerakan yang mengikut sistem itu dapat menentukan keseimbangan dan keharmonian segala itu. Hakikat itu dapat difahami daripada pembinaan, penghasilan dan penciptaan keindahan dan kehalusan dalam konteks seni. Tukang-tukang sentiasa berusaha memahami keseimbangan dan keharmonian struktur, dan bentuk serta susunan bahan dalam tradisi seni rupa Melayu. Dengan menimbangkan kepentingan dan keperluan itu mereka dapat menyatakan keindahan dan kehalusan sesuatu hasil seni itu. Sememangnya pertimbangan itu memerlukan daya kreatif dan pemikiran yang tinggi.

Ragam hias yang diberikan kepada sesuatu peralatan, mengikut struktur yang telah dibina itu dapat meningkatkan kehalusan dan ketinggian seninya. Walau bagaimanapun ragam hias itu, seperti ukiran, motif, lakar, jalur, warna dan seumpamanya sentiasa diberikan pertimbangan dari segi perseimbangan dan keharmonian keseluruhan sesuatu alat yang dihasilkan. Keindahan itu terletak kepada kesederhanaan dalam segalanya. Tumpuan secara berlebihan, misalnya ragam hias yang keterlaluan boleh membawa kesan yang tidak bersesuaian dengan tradisi seni.

Kedudukan ruang dalam kosmologi selalu menjadi pertimbangan dalam seni. Konsep keseimbangan dan keharmonian itu juga boleh diteliti dengan menguruskan kedudukan ruang dalam penyusunan hiasan, struktur dan keseluruhan pembinaan alat itu yang menyatakan kemampuan seni mempertahankan nilai-nilai seni. Selain itu, berkaitan dengan ruang itu, orang-orang Melayu juga sentiasa memberikan makna kepada kedudukan ruang sosial. Misalnya, dalam seni bina Melayu, kedudukan sosial anggota-anggota masyarakat itu dinyatakan dalam konteks ruang sosial. Pertimbangan aspek ruang ini dapat menyatakan kedudukan seni dalam konteks masyarakat, iaitu antara tukang dan anggota-anggota masyarakat yang menghayatinya.

Hubungan erat antara orang Melayu dengan alam sekitar, serta kepekaan mereka dalam meneliti kehidupan dan peredaran alam sekitar, seperti tumbuhan memberikan peluang kepada mereka untuk memindahkan keindahan alam sekitar itu kepada ragam hias dalam tradisi seni rupa. Misalnya motif, jalur, warna dan seumpamanya banyak menyatakan hubungan mereka dengan tumbuhan. Tumbuhan memberikan mereka kepuasan dan keharmonian jiwa. Kepekaan mereka dalam meneliti alam sekitar membolehkan mereka memindahkan secara terperinci sesuatu itu kepada media lain. Misalnya, keindahan pada daun, ranting dan bunga yang dapat diteliti dari urat-uratnya. Justeru, hasil seni rupa Melayu merupakan manifestasi daya kreatif dan pemikiran manusia Melayu.

Tradisi seni Melayu itu menyatakan budi secara nyata atau tersirat. Konsep budi ini meliputi aspek moral dan akhlak berlandaskan kepada nilai-nilai Islam. Nilai-nilai seni itu dinyatakan dengan makna atau pengertian mengikut moral dan akhlak, adat dan budi yang telah ditetapkan dalam tradisi budaya dan Islam.

Konsep keindahan itu bersesuaian dengan prinsip budi dan itulah yang menyatakan pengesahan sebagaimana yang dihormati masyarakat. Tukang-tukang yang menghasilkan seni rupa berusaha mengelakkan penggunaan simbol-simbol yang bercanggah dengan nilai-nilai sosial dan Islam. Hasilnya itu dihayati bersama, dan tukang-tukang menyedari peranannya dan kedudukannya sebagai anggota masyarakat yang mendokong budaya dan Islam. Dalam menimbangkan keseimbangan dan keharmonian, sebagai kejadian Allah yang maha berkuasa, penghasilan seni rupa Melayu sentiasa menekankan pentingnya hubungan atau kaitan secara ‘berpasangan’, misalnya antara kiri-kanan, lelaki-perempuan, dan seumpamanya.

Pada setiap sesuatu hasil itu, terdapat tumpuan yang dianggap pusat kepada sesuatu pembinaan seni rupa itu. Misalnya, pada sebuah rumah terdapat pusatnya, iaitu pada rumah ibu dan tiang seri. Pusat atau asasnya itulah yang menentukan pembinaan keseluruhan struktur itu. Keindahan dan kehalusan buatan sesuatu hasil seni dihayati bersama dan difahami secara bersama berasaskan pengalaman masyarakat dan budayanya. Oleh itu, lambang-lambang yang digunakan oleh tukang itu berasaskan kepada kebiasaan atau kelaziman yang telah menjadi tradisi. Dari itu dalam warisan seni rupa Melayu, bentuk, struktur dan ragam hias yang disampaikan itu mempunyai ciri-ciri yang tidak jauh berbeza antara satu dengan yang lain.
Menurut Muhammad Afandi Yahya (1995: 147), ukiran-ukiran Melayu merupakan lambang kekreativitan masyarakat yang menghasilkannya. Ukiran-ukiran yang terdapat biasanya diukir dalam bentuk berkeluk-keluk atau berlengkuk-lengkuk. Bentuk lengkuk ini biasanya diukir dalam keadaan tunduk ke bawah. Sifat yang keluk-keluk dan menunduk ke bawah bererti kelembutan jiwa masyarakat yang mendasarinya. Sifat tunduk ini membawa maksud tidak suka meninggi diri, sama seperti resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Bentuk ini juga kadang kala diukir dalam bentuk disilatkan untuk menimbulkan lagi keindahan pada bahagian ukiran tersebut. Bentuk-bentuk ukiran ini cuba membayangkan jiwa dan keperibadian masyarakat itu sendiri.

Bahagian hujung lengkuk ini juga tidak dibentuk dalam keadaan menujah atau menikam bahagian lain, yang secara tidak langsung, memanifestasikan sifat ahli silat Melayu yang tidak akan mengganggu atau mengkhianati seseorang kecuali sekiranya mereka diganggu. Begitu juga dengan sifat manusia Melayu yang tidak akan mengganggu atau mengkhianati seseorang tanpa bersebab.

Gambaran bentuk-bentuk ukiran seperti daun atau sulur yang menunduk ke bawah juga membawa lambang hubungan manusia dengan Tuhan. Manusia merupakan makhluk yang paling rendah berbanding dengan Tuhan Pencipta Alam dan dengan ini manusia akan tetap tunduk kepada Yang Satu, walaupun betapa tinggi pencapaiannya. Konsep inilah yang dipegang oleh masyarakat Melayu pada keseluruhannya. Secara langsung, ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu memanifestasikan daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu.

Premis ini menunjukkan bahawa dalam bidang seni bina, setiap aspek yang mendasarinya mempunyai pengertian atau perlambangan yang tertentu. Pengertian atau per­lambangan itu berkait pula dengan nilai-nilai pemikiran adat kepercayaan dan agama masyarakatnya. Faktor-faktor adat istiadat dan agama ini amat kuat mempengaruhi aspek-aspek ragam hias dalam seni rupa dan hasil seni rupa manusia Melayu itu sendiri.

Daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu dapatlah dipastikan dari jenis daun, ranting dan bunga yang terhad, yang diolahnya. Fenomena ini jelas diperlihatkan misalan, pada bahagian-bahagian rumah yang dihiasi dengan ragam hias seperti ukiran pada tangga, daun pintu, tingkap, tiang, dinding. Keadaan selektif dan terhad ini ialah hasil dari pemilihan manusia Melayu. Prinsip Halus, Prinsip Berguna, Prinsip Bersatu, Prinsip Berlambang, Prinsip Berlawan dan Prinsip Bermakna dalam ragam hias menjadi tunjang pada daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu dalam menghasilkan objek-objek seni rupa Melayu.

Prinsip halus yang diterapkan dalam ragam hias seni rupa Melayu jelas menggambarkan manifestasi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu seperti yang telah disebutkan tadi. Prinsip halus ini didasari oleh dua faktor iaitu cara pembuatan dan kejujuran pada bahan. Petukang-petukang Melayu yang menghasilkan seni rupa haruslah bersungguh-sungguh, berfikiran waras, berminat, berbakat, mahir dan mengetahui teknik pembuatan yang betul. Kejujuran semasa menghasilkan seni rupa Melayu dilihat daripada bermulanya proses pembuatan hingga akhir proses. Bahan-bahan yang digunakan mestilah asli dan tidak bercampur dengan bahan-bahan lain. Kedua-dua faktor ini adalah penting bagi mengekalkan kehalusan sesuatu hasil seni rupa Melayu. Ciri-ciri kehalusan ini dapat dilihat pada tangkai keris, parang, senduk, bangau, nisan, tembikar dan sebagainya. Sebagai contoh mata keris dengan lok-loknya membayangkan kreativiti manusia Melayu dalam menghasilkan seni rupa keris. Syed Ahmad Jamal di dalam bukunya ‘Rupa dan Jiwa’ menegaskan bahawa mata keris membayangkan bentuk gelombang di laut dan arus di sungai. Prinsip halus ini memperlihatkan pemikiran manusia Melayu dalam mengadaptasikan bentuk-bentuk dari alam semulajadi di dalam hidup, sikap dan karya bangsa Melayu. Setiap peristiwa yang berlaku dalam alam sekitar dirakamkan sebagai hasil seni rupa Melayu yang akhirnya terhasillah ragam hias Melayu yang halus karyanya.

Setiap seni rupa yang dihasilkan bukan sekadar untuk dipamerkan tetapi juga mempunyai kegunaannya yang tertentu. Faedah yang diperolehi adalah untuk kegunaan kehidupan seharian. Sebagai contoh, kukur untuk mengukur kelapa, saji menutup sarapan, tembikar mengisi air atau sarapan, keris sebagai senjata dan lambang, dan ukiran di tangga, di tingkap serta di dinding sebagai hiasan permukaan dan sebagainya. Setiap hasil seni rupa Melayu digunakan secara keseluruhan bukannya bersifat keindividualan. Hal ini dilihat dalam pemikiran manusia Melayu yang mengangkat falsafah Melayu iaitu “ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul”. Sebagai contoh seni rupa tembikar: Tembikar yang indah bentuknya bukan dimiliki oleh seseorang individu namun ia juga milik seluruh keluarga malah digunakan juga pada waktu-waktu tertentu seperti kenduri. Ukiran-ukiran di tingkap dan dinding rumah juga mempunyai kegunaan yang tersendiri. Ukiran-ukiran yang terdapat di dinding rumah ini bukan sahaja tampak menarik bahkan berfungsi sebagai pengalir udara dan cahaya. Udara yang memasuki ruang rumah akan mengurangkan haba di dalam rumah ketika cuaca panas. Prinsip Berguna ini telah memperkayakan lagi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu dengan kegunaan ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu yang disebutkan tadi.
Bagi menonjolkan kenyataan bahawa ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu merupakan manifestasi daya kreatif dan pemikiran manusia Melayu, haruslah juga dilihat pada Prinsip Bersatu dalam ragam hias sesebuah karya seni rupa. Konsep bersatu yang dimaksudkan ialah wujudnya pemula dengan penamatnya. Di antara permulaan dan penamatnya, wujud pula perkaitan dan intergrasi. Gambar di sebelah kiri menunjukkan keadaan sebuah ukiran yang masih ada di tempat asalnya iaitu di dinding rumah Encik Osman bin Katas, Kampung Lada, Cengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Lapisan jenang yang memagari ukiran dangkal ini, bertujuan meletakkannya sebagai penghias bahagian bawah dinding luar yang mengadap jalan. Meskipun ada panel-panel lain di dinding tersebut namun setiap satunya adalah bebas dari bergantung kepada panel lain yang di sebelah. Keadaan ini memungkinkan satu panel diturunkan dan sesudah dialas di atas sekeping papan lain, digantung seperti sebuah catan, seperti gambar di sebelah kanan ini. Oleh itu, jelaslah prinsip bersatu dalam ragam hias sesebuah hasil seni rupa Melayu itu memaparkan daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu yang mementingkan nilai permuafakatan yang kukuh dalam kehidupan seharian manusia Melayu.

Prinsip Berlawan yang diterapkan dalam ragam hias seni rupa Melayu jelas menggambarkan manifestasi daya kreativiti dan pemikiran manusia Melayu juga. Prinsip dalam ragam hias ini merupakan pertentangan yang terkawal antara dua atau lebih jenis permukaan. Saingan jenis permukaan ini digalakkan demi mendapatkan bukan sahaja kesan tampakan yang janggal tetapi suasana yang tegang. Walaupun prinsip ini bertentangan dengan sifat orang Melayu yang enggan bertegang atau berlawan berdepan-depanan tetapi sebenarnya pemikiran manusia Melayu yang cuba disampaikan dalam hasil seni rupa Melayu ini menegaskan bahawa cara orang Melayu mengawal perlawanan yang disebabkan oleh ketegangan itu. Sifat manusia Melayu ini jelas tergambar dalam sebuah puisi yang bertajuk ‘Melayu’:
“.... Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan ....”
- Usman Awang
Dalam dunia ukiran Melayu sebagai contoh pula, sudut merupakan bahagian yang agak istimewa. Di sudut-sudut inilah ukiran tiga segi ditambahmasukkan umpamanya demi meredakan ketajaman 90 darjah antara tiang dengan rasuk. Gambar di bawah ini ialah ukiran di ambang pintu rumah Encik Osman bin Katas juga. Alang di atas langsung tidak berukir sedangkan tiang-tiang pintu di sebelah kiri dan kanan pula mempunyai jenis ukiran yang jauh berbeza dari ukiran yang tergantung dari alang tersebut.
Jika dilihat dari sudut estetika, terdampaklah satu persaingan yang agak hebat kerana bentuk ukiran yang tergantung dari alang tersebut tadi ialah bunga dan daun yang bergulung-gulung yang seakan-akan bergerak dari sisi ke tengah. Seolah-olah, seperti dua tenaga yang bertembung di bahagian tengah. Dengan ragam hias ini, maka terciptalah sepasang mata burung hantu.

Gambaran demikian bukanlah tujuan sebenar pengukir. Tujuannya ialah mencari penyudahan yang sesuai dengan pintu. Maka tidaklah hairan, ukiran ini melengkung ke atas supaya senang seseorang itu memasuki pintu dengan menunduk sedikit sahaja. Justeru jelaslah setiap ragam hias pada hasil seni rupa Melayu, seperti hasil ukiran tersebut, melambangkan daya kreativiti yang tinggi serta pemikiran manusia Melayu dalam menghasilkan seni rupa Melayu. Dapatlah dikatakan bahawa ragam hias dalam setiap hasil seni rupa Melayu mempunyai Prinsip Berlambang. Lambang adalah faktor yang menentukan penyatuan antara isi dengan bentuk. Justeru, menghasilkan ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu memerlukan daya kreativiti dan pemikiran yang mendalam dan luas. Sebagai contoh, ragam hias seperti ukiran bunga yang kembang dan daun yang terbuka adalah lebih memuaskan dari mengukir kuntum bunga yang kuncup dan daun yang layu.

Setiap ragam hias dalam hasil seni rupa Melayu mempunyai makna yang wajar dan munasabah dengan kupasan amanat, mesej atau nasihat yang tersurat dalam sesuatu ragam hias, seperti dalam motif ‘Itik Malu’ dan ‘Itik Bersabung Dua’ di bawah ini:
Motif Itik Malu Motif Itik Bersabung dua


Prinsip Bermakna dalam ragam hias hasil seni rupa Melayu itu wujud secara intrinsik dan ekstrinsik. Ragam hias yang bermakna intrinsik ialah ukiran berbunga yang diketahui nama bunga-bunga dan juga kaligrafinya. Abjad-abjad yang dicat, diukir dan dipahat, diatur dan digubah berupa utusan biasa, puisi, doa, mantera, perintah dan sebagainya. Alas di mana bentuk ragam hias tersebut wujud itu sendiri, kalau diterima sebagai indah berseni, adalah penerang makna yang baik. Sedangkan ragam hias yang bermakna ekstrinsik memerlukan pembantu untuk menerangkan makna yang terkandung di dalamnya. Di sinilah terletaknya peranan pensejarah seni. Dia berhadapan dengan salah satu cabang sejarah seni yang susah: ikonografi atau semiotik. Ini bererti dia mengkaji bukan sahaja ragam hias yang berkenaan tetapi juga segala sesuatu yang berkaitan dengan ragam hias tersebut: ragam hias yang tergolong sama kelas dengan ragam hias asal, ragam hias sekitar, ragam hias sedaerah dan serantau dengan ragam hias yang terjumpa tadi. Umpamanya, batu-batu megalith yang masyhur di Pengkalan Kempas. Perkataan ALLAH yang tertimbul di muka batu yang digelar Pedang ialah pemberi makna secara intrinsik. Berbagai rumusan dan agakan dapat kita buat bertolak dari perkataan tersebut. la berhubung dengan soal pengukir, penganjur dan masyarakat serta pengalaman yang telah dilalui oleh mereka yang membuat dan menghargai megalith tersebut. Batu-batu lain yang berhampiran dengannya tidak bertulis malah ada sebuah yang berukiran garis-garis menyerupai 'the star of David' (lambang Yahudi) digelar sebagai "perisai". Jadi dengan sedikit maklumat tampakan(visual) sahaja, manusia yang mewarisinya boleh membuat interpretasi. Maka batu-batu megalith lain yang tidak bergaris atau bertulis terpaksa bergantung kepada peranan batu-batu yang berukir dan bertulis di sekitarnya. Makna ekstrinsiknya nanti adalah gabungan beberapa andaian umpamanya, tentang peranan batu-batu megalith di dalam masyarakat Melayu kuno. Juga tentang hubungan sekelompok batu-batu megalith dengan kelompok-kelompok lain di Negeri Sembilan, malah di seluruh dunia Melayu. Dengan demikian masalah makna boleh dibereskan melalui kaedah perbandingan, yakni, sehingga tercipta makna secara ekstrinsik.

Secara kesimpulan, penyudahan kepada sebarang masalah ragam hias memerlukan pemikiran baru. Ragam hias dalam seni rupa manusia Melayu sudah sememangnya menjadi khazanah Melayu, yang diwarisi turun-temurun sehingga warisan seni itu mampu mengangkat jati diri manusia Melayu di samping mewajahkan budayanya. Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa ragam hias dalam hasil seni rupa adalah manifestasi daya kreativiti dan daya pemikiran manusia Melayu. Yang menarik ialah bagaimana warisan seni Melayu terus berkembang mengikut cita rasa manusia sesuatu zaman, iaitu hasil seni Melayu berkembang terus bersama-sama dengan manusia Melayu dalam satu proses pertumbuhan dan perkembangan yang berjalan seiring. Dinamisme sebegini menjadikan ragam hias dalam hasil seni Melayu sebagai satu unsur budaya yang mengandungi makna dan erti, mengandungi lambang kehidupan semasa, dan terus-menerus diapresiasi dan dikembangkan oleh masyarakat yang mendukungi sesuatu hasil seni daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain.

Proses pertumbuhan dan perkembangan ragam hias dalam seni Melayu tidak terkecuali daripada proses sosial manusia Melayu. Umpamanya sebarang pengaruh dari luar negeri atau dari dalam negeri turut memberi corak dan penyesuaian kepada hasil seni Melayu. Oleh itu kesenian menjadi salah satu unsur penting dalam mengukur pencapaian masyarakat yang mendukungnya. Kesenian menjadi salah satu manifestasi makna dan nilai manusia pesertanya. Kesenian Melayu baik dari segi perangkatnya, perlakuannya, atau hasilnya melahirkan perlambangan dan falsafah budaya Melayu. Persoalan bahawa kesenian menjadi dampak positif atau negatif adalah persoalan nilai yang turut mem­beri makna kepada tanggapan budaya semasa.

Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa manusia Melayu telah membina tamadun yang tinggi jika dilihat daripada tradisi ragam hias dalam hasil seni rupanya. Dalam penghasilan dan penghayatan seni rupa, ragam hias, aspek fungsi alat dan fungsi seninya tidak dapat dipisahkan. Kesemua fitur itu tadi bergabung dan bersebati dengan indahnya dan perlu dihayati bersama.

Karya seni yang terhasil secara keseluruhannya merupakan manifestasi ketamadunan Melayu. Antara elemen penting sebagai manifesto budaya Melayu ialah kepercayaan kepada Tuhan dan alam ghaib, falsafah dan pegangan hidup mengenai epistemology, ontology dan kosmologi, keeratan hubungan dan kebergantungan hidup Melayu kepada alam semula jadi, sistem kehidupan yang mementingkan keindahan pada keseluruhan aspek hidupnya, serta tatasusila hidup yang penuh peradaban, tatacara dan upacara.

Dalam kesemua aspek kesenian yang dibincangkan, orang-orang Melayu kerap menonjolkan ciri-ciri kemelayuan yang tidak dapat dipisahkan daripadanya sejak zaman berzaman iaitu sifat-sifat kesantunan, kelembutan, kehalusan, keseimbangan, kesatuan dan harmoni, seperti yang tergambar dalam puisi Usman Awang yang berikut:

“.... Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Jika mengampu bijak mengalas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak....”

Justeru, dapatlah kita merumuskan bahawa ragam hias dan hasil seni rupa Melayu boleh menerangkan mengenai siapa manusia Melayu itu sendiri, yang merangkumi si pencipta dan si penyambut seni. Penciptaan karya seni merupakan hasil kreativiti senimannya, yang secara langsung atau tidak langsung memasukkan nilai kehidupannya dalam penciptaannya. Bertitik tolak daripada pandangan alam hidupnya inilah unsur kejiwaan dalam karya seni wujud kerana karya itu sendiri menyerlahkan tentang nilai-nilai intrinsik yang tersirat pada elemen gubahan dan reka bentuk yang dipilih.

Seni rupa Melayu bukan sahaja menekankan aspek fungsi dalaman dan kejiwaan penciptaannya, bahkan mendokong doktrin utilitarianisme yang majoritinya terpapar pada penciptaan seni kraftangan Melayu. Nilai gunaan diberikan penegasan utama dalam penciptaan karya seni sebelum kemasukan seni Barat ke alam Melayu. Begitu juga, seni rupa Melayu terutamanya setelah kedatangan Islam dilihat sebagai satu usaha melahirkan seni yang bukan sahaja memberikan fungsi gunaan, bahkan berlandaskan sistem nilai dan etika selain memenuhi daya estetikanya. Hal ini mengaitkan nilai estetik dengan nilai kebenaran dan kebaikan.

Akhir kata, menyedari peri pentingnya kewujudan satu nafas baru dalam dunia seni mutakhir terutamanya seni lukis dan arca yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat, usaha memelayukan seni lukis dan arca dilihat sebagai petanda yang positif. Usaha ini tidak akan berjaya tanpa penyuntikan isi kesenian yang berteraskan nilai-nilai murni Melayu dibantu dengan penyuntikan idea kosmologi tradisi yang selaras dengan ajaran Islam.

LAMPIRAN :-



Contoh ukiran Awan Larat yang diukir pada Panel
(nampak tak awan yang melarat dan berselirat tu?)


Salah satu senjata Melayu iaitu keris turut
dihias dengan ukiran mengikut cita rasa pemilik
ITIK PULANG PETANG
(ukiran ni biasa pada verandah rumah orang melayu dahulu kala)


ni ukiran CAP AYAM
(haha....)

-orang dahulu kala menggunakan alam persekitaran
untuk menggarapkan idea mereka ke dalam
hasil seni mereka-
cth : ayam, itik, awan dsb.

0 comments: